#1 – Diampunkan Dosa-Dosanya oleh Allah swt
Kita adalah seorang
hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari
kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering
jatuh tersungkur di lembah maksiat.
#2 – Dimakbulkan
Permintaan & Hajat
Orang yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah swt pasti
sentiasa dibersihkan dari dosa-dosanya. Apabila seseorang hamba itu bersih dari
dosa maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah swt kerana dekatnya dia di
sisi Allah swt. Adalah tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala
permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu
#3 – Bertambah
Kekuatan
“Tiada daya dan kudrat melainkan hanya dengan Allah
swt,” itulah fitrah kejadian manusia. Segala kekuatan hanya milik Sang
Pencipta. Betapa setiap ujian dan cabaran dalam hidup yang ada pasang surutnya
membuatkan kita lelah.
#4 – Mudah Mendapat
Zuriat
Para ulama’ menyarankan kepada setiap pasangan yang
berhajat pada zuriat untuk memperbanyakkan amalan istighfar. Antara kisah yang
boleh dikongsi di sini adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu
Shabih tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan
al-Basri kerana hal ini.
#5 – Menyembuhkan
Penyakit
Seorang da’i yang hanya dikenali sebagai Ustaz Danu
telah berkongsi tentang pengalamannya selama 15 tahun yang meneliti bahawa
terdapatnya hubungkait suatu penyakit dengan kebiasaan maksiat dan dosa yang
dilakukan oleh seorang pesakit.Menerusi pemerhatian inilah dia akhirnya
menyimpulkan bahawa istighfar merupakan salah satu jalan kepada kesembuhan
penyakit. Semua yang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana
untuk menghadapi ujian penyakit yang dialami akan diusulkan agar
memperbanyakkan istighfar.
#6 – Menyejukkan Hati Isteri yang Sedang Marah
Dikisahkan tentang seorang hamba Allah yang telah bertengkar dengan isterinya
mulai saat dia tiba di rumah sehingga menjelang Subuh. Teruknya keadaan mereka
suami isteri bertengkar sehingga si isteri membuat keputusan untuk keluar dari
rumah dan pulang kepada orang tuanya.
Kecewa kerana gagal memujuk si isteri, hamba Allah ini telah pergi ke
masjid dalam keadaan marah dan beremosi ketika isterinya sibuk mengemas
pakaian. Selepas solat Subuh berjemaah, hamba Allah ini memilih untuk
beristighfar selama sejam bagi menenangkan dirinya dari terus pulang ke rumah.
Usai beristighfar dia kembali ke rumah namun alangkah terkejutnya dia
apabila melihat si isteri sedang menanti dengan wajah yang manis dan ceria.
Lebih menghairankan apabila si isteri juga meminta maaf atas keterlanjuran dan
pertelingkahan yang berlaku sepanjang malam itu.
Hamba Allah ini lalu bertanya si isteri apa yang berlaku sehingga si
isteri boleh berubah. Si isteri menjawab bahawa dia juga tidak tahu namun sejak
sejam yang lalu hatinya tiba-tiba merasa tenang dan jiwanya jadi tenteram. Si
isteri juga jadi sedar pada kesilapannya. Hamba Allah ini lantas teringat
bahawa pada sejam itulah dia sedang khusyuk beristighfar. Hamba Allah ini
sangat bersyukur atas bantuan Allah swt dalam mendamaikan hati mereka berdua.
Mungkin ada kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar
atau tidak kepada Allah swt sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga
kita. Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya. Kembalilah kepada
Allah swt atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon
ampun. InsyaAllah akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita.
#7 – Dijauhkan dari
Azab & Bala
Mintalah ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika
bila Allah swt mengurniakan keampunan kepada kita. Jangan berhenti mengharapkan
keampunan Allah swt kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah swt
sebagai asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia
dan di akhirat.
Seorang
pemotong daging telah ditanya oleh seorang ulama’ tentang amalan apakah yang
sering dilakukannya sehingga kubur ayahnya begitu lapang dan bercahaya. Amalan
apakah yang menyebabkan ayahnya tidak diazab di alam barzakh sedangkan penghuni
kubur yang lain berada dalam dukacita.
Ternyata
jawab si pemotong daging bahawa dia tidak pernah berhenti memohon keampunan
Allah swt untuk ayahnya dan amalan inilah yang menyelamatkan ayahnya di sana.
#8 – Ditambah Nikmat & Kekayaan
Dr Azizan Osman, seorang jutawan
yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamanamat menegaskan amalan istighfar
kepada para pelajarnya selain amalan sedekah. Seorang peniaga minyak wangi yang berjaya pula
pernah menasihati saya untuk mengamalkan sekurang-kurangnya 70 kali istighfar
sebelum memulakan sesi perniagaan.
#9 – Memberatkan
Timbangan Akhirat & Diangkat Ke Syurga
Kesayangan Rasulullah saw, Saidatina Aisyah ra
pernah berkata:
“Beruntunglah orang-orang yang menemukan istighfar
yang banyak pada setiap lembar catatan harian amal mereka.”
#10 – Penyelesaian
Setiap Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan
Perkongsian ini dari seorang ulama’, Ibnu Taimiyyah Rahimahullah.
Menurut pengalaman beliau:
“Sungguh, kadang-kadang terlintas di hatiku suatu persoalan yang sulit
untuk aku fahami, maka aku beristighfar kepada Allah, sehingga dadaku menjadi
lapang dan persoalan itu terpecahkan. Terkadang aku berada di pasar, masjid
atau sekolah, hal itu tidak menghalangiku untuk mengucapkan istighfar, hingga
aku memperoleh yang aku inginkan.”
Keyakinan para ulama’ dalam melazimi istighfar telah memberi manfaat
kepada mereka untuk memahami dan mendalami persoalan ilmu sehingga menjadi
pakar dalam bidang mereka. Istighfar juga memudahkan segala urusan dan
menyelesaikan masalah sehingga mereka dapat mengatur masa dalam kesibukan
mereka belajar, mengajar, bekerja dan menulis kitab. Dari Ibni Abbas ra,
baginda Rasulullah saw juga bersabda:
“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan
kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya,
dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad
#11 – Menggembirakan Allah & Dicintai Allah
Pasti
matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah swt.
Mudahan redha Allah swt membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari
Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga. Redha
Allah swt akan diperolehi apabila kita menggembirakan Allah swt dan istighfar
adalah jalannya. Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh Allah lebih gembira
dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang dari kalian yang
menemukan untanya yang hilang di padang pasir.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Rasulullah
saw juga bersabda:
“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah.
Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.”
Riwayat Ibnu Majah
Sumber : https://tazkirah.net