Wednesday 21 March 2018

Nostalgia Zaman Kanak-Kanak

Gambar Dan Kenangan
Aku anak kampung...
Terpesona melihat foto-foto yang menggambarkan aktiviti-aktiviti zaman kanak-kanak di desa
Terasa seperti sekarang sudah tiada lagi aktiviti-aktiviti seperti ini..



Bermain di dalam becak..Satu kegembiraan
Satu kepuasan



Tiupan seruling anak gembara. Ada kedamaian meskipun hanya dikelilingi pohon-pohon hijau.
Satu ketenangan.



Teman sejati , masih ingatkah engkau lagi padaku..Waktu silih berganti tapi yang awal itu tetap abadi.


Sungai dan kita. Sejuk dan Segar..
Mungkinkah ini akan mengundang sedikit rindu di hati.











Kenangan dahulu..
Sekarang ku mungkin terjatuh,,,,


Teman-temanku...
Sungguh hebat kita ketika ini mampu membuat pelbagai aksi. Zaman kanak-kanak yang penuh keceriaan ..

Nikmat Cuti Sekolah



Musim cuti sekolah bermula lagi!! 
Meskipun hanya untuk 1 minggu namun pasti ramai ibubapa mengambil peluang ini untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Ada yang pergi bercuti . Lebih - lebih lagi keputusan peperiksaan SPM baru diumumkan. Mungkin ada ibubapa yang mengambil peluang ini untuk meraikan kejayaan anak anda bersama-sama ahli keluarga yang lain. Boleh berkumpul dan beraktiviti bersama.

Tidak dilupakan juga pasangan-pasangan yang meraikan cinta sejati mereka dengan ikatan perkahwinan .  Mungkin ada juga pasangan yang mengambil peluang ini untuk menyambut ulangtahun perkahwinan dan sebagainya.

Mungkin ada juga yang mengambil kesempatan di musim cuti sekolah ini untuk pulang ke kampung .Bukan hanya di Hari Raya saja ye....hehe



Tuesday 20 March 2018

Menyucikan Hati




Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)


Hati berkarat , bagimana cara membersihkan hati - Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid


Petua Membersihkan Hati Oleh Datuk Dr Hj Fadilah Kamsah


1) Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3) Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4) Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5) Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6) Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya... ...

7) Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik,berjaya, ceria, bersemangat,aktif, positif". 

8). Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9) Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa)

10) Kekalkan wuduk

11) Bersedekah

12) Belanja orang makan.

13) Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat

14) Berkawan dengan ulama

15) Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16) Pesan pada orang, jadi baik

17) Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut... dsb), jangan dengar orang mengumpat.


===========================================================
BAGAIMANA hendak membersihkan hati yang kotor? Dalam hal ini, Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: “Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi.”

Lalu orang bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkanya?”

Jawab Rasulullah: “Membaca al-Quran dan mengingati mati.”
Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran di jantung yang didatangkan syaitan mengikut saluran darah.


Sabda Rasulullah lagi bermaksud: “Tiadalah antara yang memberi syafaat yang lebih utama kedudukannya pada Allah daripada al-Quran.

Tidak nabi, tiada malaikat dan tidak lainnya.”

Baginda bersabda lagi: “Yang terbaik daripada kamu ialah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”.

Amalkan membaca al-Quran pada malam, terutama malam Jumaat dan malam-malam awal, pertengahan dan akhir bulan. Seperti yang diriwayatkan, al-Quran itu ada jantungnya seperti manusia yang mempunyai jantung dalam dirinya.

Yang dimaksudkan dengan jantung al-Quran ialah Surah Yasin.

Justeru, hikmat membaca Yasin pada malam Jumaat, pada malam bulan Ramadan dan pada subuh menjelang hari raya adalah terlalu besar serta diampunkan dosanya.

Sabda Rasulullah: “Jantung al-Quran adalah surah Yasin. Tidaklah dibaca akan dia oleh seorang melainkan menghendaki keredaan Allah dan keselamatan pada hari akhirat dan Allah mengampuni dosanya.”

Ayat terbesar dan digelar raja segala ayat dalam al-Quran ialah ayat Kursi.

Hadis Nabi: “Sebesar-besar ayat di kitab Allah ialah ayat Kursi.

“Ada satu ayat yang menjadi penghulu daripada segala ayat.

“Jika dibaca ayat itu dalam sebuah rumah, sedangkan di dalamnya ada syaitan, maka keluarlah syaitan itu dari rumah itu.

“Ayat itu ialah ayat Kursi.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Firman Allah bermaksud: “Tidak akan diseksa hati yang terbendung dalamnya ayat-ayat suci al-Quran pada akhirat nanti.”

Semoga bermanfaat untuk kita semua..Amin



Saturday 17 March 2018

Kelebihan Istighfar


#1 – Diampunkan Dosa-Dosanya oleh Allah swt
Kita adalah seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering jatuh tersungkur di lembah maksiat.
#2 – Dimakbulkan Permintaan & Hajat
Orang yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah swt pasti sentiasa dibersihkan dari dosa-dosanya. Apabila seseorang hamba itu bersih dari dosa maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah swt kerana dekatnya dia di sisi Allah swt. Adalah tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu
#3 – Bertambah Kekuatan
“Tiada daya dan kudrat melainkan hanya dengan Allah swt,” itulah fitrah kejadian manusia. Segala kekuatan hanya milik Sang Pencipta. Betapa setiap ujian dan cabaran dalam hidup yang ada pasang surutnya membuatkan kita lelah.
#4 – Mudah Mendapat Zuriat
Para ulama’ menyarankan kepada setiap pasangan yang berhajat pada zuriat untuk memperbanyakkan amalan istighfar. Antara kisah yang boleh dikongsi di sini adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Shabih tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan al-Basri kerana hal ini.
#5 – Menyembuhkan Penyakit
Seorang da’i yang hanya dikenali sebagai Ustaz Danu telah berkongsi tentang pengalamannya selama 15 tahun yang meneliti bahawa terdapatnya hubungkait suatu penyakit dengan kebiasaan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh seorang pesakit.Menerusi pemerhatian inilah dia akhirnya menyimpulkan bahawa istighfar merupakan salah satu jalan kepada kesembuhan penyakit. Semua yang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk menghadapi ujian penyakit yang dialami akan diusulkan agar memperbanyakkan istighfar. 
#6 – Menyejukkan Hati Isteri yang Sedang Marah

Dikisahkan tentang seorang hamba Allah yang telah bertengkar dengan isterinya mulai saat dia tiba di rumah sehingga menjelang Subuh. Teruknya keadaan mereka suami isteri bertengkar sehingga si isteri membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan pulang kepada orang tuanya.
Kecewa kerana gagal memujuk si isteri, hamba Allah ini telah pergi ke masjid dalam keadaan marah dan beremosi ketika isterinya sibuk mengemas pakaian. Selepas solat Subuh berjemaah, hamba Allah ini memilih untuk beristighfar selama sejam bagi menenangkan dirinya dari terus pulang ke rumah.

 Usai beristighfar dia kembali ke rumah namun alangkah terkejutnya dia apabila melihat si isteri sedang menanti dengan wajah yang manis dan ceria. Lebih menghairankan apabila si isteri juga meminta maaf atas keterlanjuran dan pertelingkahan yang berlaku sepanjang malam itu.

Hamba Allah ini lalu bertanya si isteri apa yang berlaku sehingga si isteri boleh berubah. Si isteri menjawab bahawa dia juga tidak tahu namun sejak sejam yang lalu hatinya tiba-tiba merasa tenang dan jiwanya jadi tenteram. Si isteri juga jadi sedar pada kesilapannya. Hamba Allah ini lantas teringat bahawa pada sejam itulah dia sedang khusyuk beristighfar. Hamba Allah ini sangat bersyukur atas bantuan Allah swt dalam mendamaikan hati mereka berdua.

Mungkin ada kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar atau tidak kepada Allah swt sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga kita. Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya. Kembalilah kepada Allah swt atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon ampun. InsyaAllah akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita.
#7 – Dijauhkan dari Azab & Bala
Mintalah ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika bila Allah swt mengurniakan keampunan kepada kita. Jangan berhenti mengharapkan keampunan Allah swt kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah swt sebagai asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia dan di akhirat.
Seorang pemotong daging telah ditanya oleh seorang ulama’ tentang amalan apakah yang sering dilakukannya sehingga kubur ayahnya begitu lapang dan bercahaya. Amalan apakah yang menyebabkan ayahnya tidak diazab di alam barzakh sedangkan penghuni kubur yang lain berada dalam dukacita.
Ternyata jawab si pemotong daging bahawa dia tidak pernah berhenti memohon keampunan Allah swt untuk ayahnya dan amalan inilah yang menyelamatkan ayahnya di sana.
#8 – Ditambah Nikmat & Kekayaan
Dr Azizan Osman, seorang jutawan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamanamat menegaskan amalan istighfar kepada para pelajarnya selain amalan sedekah. Seorang peniaga minyak wangi yang berjaya pula pernah menasihati saya untuk mengamalkan sekurang-kurangnya 70 kali istighfar sebelum memulakan sesi perniagaan.
#9 – Memberatkan Timbangan Akhirat & Diangkat Ke Syurga
Kesayangan Rasulullah saw, Saidatina Aisyah ra pernah berkata:
“Beruntunglah orang-orang yang menemukan istighfar yang banyak pada setiap lembar catatan harian amal mereka.” 
#10 – Penyelesaian Setiap Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan
Perkongsian ini dari seorang ulama’, Ibnu Taimiyyah Rahimahullah. Menurut pengalaman beliau:
“Sungguh, kadang-kadang terlintas di hatiku suatu persoalan yang sulit untuk aku fahami, maka aku beristighfar kepada Allah, sehingga dadaku menjadi lapang dan persoalan itu terpecahkan. Terkadang aku berada di pasar, masjid atau sekolah, hal itu tidak menghalangiku untuk mengucapkan istighfar, hingga aku memperoleh yang aku inginkan.”
Keyakinan para ulama’ dalam melazimi istighfar telah memberi manfaat kepada mereka untuk memahami dan mendalami persoalan ilmu sehingga menjadi pakar dalam bidang mereka. Istighfar juga memudahkan segala urusan dan menyelesaikan masalah sehingga mereka dapat mengatur masa dalam kesibukan mereka belajar, mengajar, bekerja dan menulis kitab. Dari Ibni Abbas ra, baginda Rasulullah saw juga bersabda:

“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad

#11 – Menggembirakan Allah & Dicintai Allah
Pasti matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah swt. Mudahan redha Allah swt membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga. Redha Allah swt akan diperolehi apabila kita menggembirakan Allah swt dan istighfar adalah jalannya. Rasulullah saw bersabda:

“Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang dari kalian yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Rasulullah saw juga bersabda:
“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.”
 Riwayat Ibnu Majah

Sumber : https://tazkirah.net

Zikir Pembuka Rezeki ..
















1. Memperbanyak Membaca “La hawla Wala Quwwata Illa billah “
    Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak
    mengucapkan “La hawla Wala  Quwwata Illa billah ( HR. At Tabrani )

2. Membaca ” La Ilaha Illallahul Malikul Haqqul Mubin”
    Barangsiapa setiap hari membaca La ilaha illallahul malikul haqqul mubin maka
    bacaan itu  akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa
    takut dalam kubur  (HR. Abu Nu’aim dan Ad Dailami).

3. Melazimkan BerIstighfar
    “Barangsiapa melazimkan beristighfar niscaya Allah akan mengeluarkan dia dari
     segala kesusahan dan  memberikan rezki dari arah yang tidak diduga-duga”
     ( HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majjah )

4. Membaca Surat Al-Ikhlas
    “Barangsiapa mmbaca Surat Al Ikhlas ketika masuk rumah maka berkah bacaan
     menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan tetangganya ( HR. AtTabrani )

5. Membaca Surat Al-Waqiah
    “Barangsiapa mmbaca surat AlWaqiah setiap malam, maka tidak akan ditimpa
      kesempitan hidup"  (HR. Al-Baihaqi dalam Syu’ab AlIman)

6. Memperbanyak Selawat Atas Nabi
    “Ubay Bin Ka’ab meriwayatkan , bila telah berlalu sepertiga malam,
     Rasulullah Salallahu’alaihiwassalam berdiri seraya bersabda : “Wahai Manusia
     Berdzikirlah mengingat Allah, berdzikirlah mengingat Allah. Akan datang tiupan
     (sangkakala kiamat) pertama, kemudian diiringi tiupan kedua. Akan datang
     kematian dan segala kesulitan didalamnya”

7. Membaca Subhanallah wabihamdihi Subhanallahil adziim
    …dari setiap kalimat itu seorang malaikat yg bertasbih kepada Allah Ta’ala
    sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu”
    (HR. Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat)



Semoga bermanfaat...Terima Kasih

Sedekah Si Penarik Beca

Kisah  ini dikatakan terjadi di daerah Klaten, Jawa Tengah, Indonesia. Seorang penarik beca yang bernama Pak Kasan mempunyai kisah menarik tentang amalan bersedekah. 
Pak Kasan mempunyai amalan bersedekah yang unik. Dia akan memberi perkhidmatan percuma pada setiap hari Jumaat. Begitulah rutin sedekah Pak Kasan. Sesiapa sahaja yang menaiki becanya pada hari tersebut, tidak akan dikenakan tambang. Begitulah yang dilakukan oleh Pak Kasan pada setiap hari Jumaat.
Pada suatu hari Jumaat seorang wanita kaya menaiki beca Pak Kasan. Apabila sudah sampai tempat yang dituju, bertanyalah wanita itu akan tambangnya. Seperti biasa, bersahajalah si penarik beca ini mengatakan bahawa pada hari tersebut dia tidak mengenakan tambang. Si wanita kaya itu tersenyum, namun masih tidak berpuas hati. Justeru dia bertekad mahu menguji si penarik beca pada masa yang lain.
Pada hari Jumaat seterusnya, si wanita kaya menaiki beca Pak Kasan sekali lagi. Kali ini wanita itu mahu Pak Kasan membawanya ke rumah Pak Kasan. Katanya mahu berkenalan dengan keluarga Pak Kasan. Lalu Pak Kasan tanpa sebarang prasangka pun mengayuh becanya pulang ke rumah.

Sampai di rumah, sedarlah wanita kaya itu akan keikhlasan Pak Kasan dengan sedekahnya. Didapati Pak Kasan memiliki seorang isteri yang solehah dan beberapa orang anak yang baik-baik. Sesungguhnya Pak Kasan pada pandangannya adalah seorang yang sangat miskin jika dibandingkan dengan dirinya. Namun, Pak Kasan masih mampu bersedekah.
Katanya, "Saya berasa malu dengan Pak Kasan. Selama ini, saya tidak pernah bertemu dengan orang yang luar biasa seperti Pak Kasan. Pak Kasan hidup sederhana, bahkan serba kekurangan, tetapi tidak pernah meninggalkan sedekah. Sedangkan saya hidup penuh dengan kemewahan, bahkan berlebih-lebihan, tetapi saya tidak pernah memberi sedekah. Maka dengan ini, izinkan saya mengajak Pak Kasan sekeluarga untuk menunaikan haji tahun ini dengan keluarga saya."

Kisah-kisah ajaib seperti di atas bukan sekali dua pernah kita dengar. Begitulah ajaibnya apabila berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah, khususnya dalam hal sedekah. Pasti dan pasti Allah akan balas berkali ganda. Begitulah janji Allah. Janji yang pasti dikotakan sejak dulu, kini dan sehinggalah ke hari kiamat."
[Berinfaklah wahai anak Adam, nescaya Aku akan memberi infak kepadamu.] Hadis qudsi riwayat Bukhari
Sumber :Buku Mudahnya Menjemput Rezeki
Tulisan :Fathuri Salehuddin

Rezeki berkat sentiasa cukup walaupun sedikit

Oleh Nik Hasnah Ismail
bhagama@bh.com.my



Sumber rezeki bagi setiap orang bukan terbatas dalam bentuk wang ringgit, material atau harta benda semata-mata, tetapi rezeki juga meliputi kelapangan waktu untuk membuat kebaikan dan amal ibadah kepada Allah SWT, kesihatan yang baik, hati yang tenang dan lapang, idea bernas dan bermanfaat, hatta kehidupan yang bahagia sekalipun.
Rezeki yang paling baik adalah rezeki yang dipenuhi dengan berkat iaitu rezeki yang walaupun sedikit tetapi mencukupi, manakala rezeki yang tidak baik adalah rezeki yang diperoleh dengan banyak, tetapi tidak mendatangkan manfaat, tidak pernah cukup dan tidak berkat.
Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir dalam rancangan Tarbiah berkata, seseorang Mukmin yang mencari rezeki di atas muka bumi Allah SWT ini perlu meletakkan iltizam di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan untuk mendapat kesenangan hidup semata-mata, tetapi mesti meletakkan keutamaan untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.
Dalam usaha untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat, seseorang Muslim mestilah menuruti adab agama sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhamad SAW yang kemudiannya dituruti oleh sahabat serta alim ulama.
Oleh itu, terdapat beberapa adab dan syarat bagi seseorang Mukmin untuk mendapat rezeki yang baik dan berkat agar dengan rezeki yang baik itu memberi keberkatan dalam kehidupan dan seterusnya menjadikan seseorang manusia itu hidup dalam keadaan tenang, lapang dan bahagia, bahkan apabila bertemu Allah SWT di akhirat nanti dalam keadaan yang penuh kegembiraan.
Menurut Mohd Nazrul, terdapat beberapa adab perlakuan yang menjadi syarat untuk umat Islam amalkan dalam mencari rezeki yang berkat.
Perkara ini juga disebut oleh ulama tersohor iaitu Imam Abdul Wahab al-Sya'rani dalam kitab karangan beliau yang bertajuk Lawaqih al-Anwar. Kitab ini menerangkan tentang adab bagi orang yang bekerja mencari rezeki dan bekerja itu sebagai satu ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Pertama, seseorang yang mencari rezeki hendaklah memasang niat untuk bekerja kerana Allah SWT dan membantu umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, apabila seseorang Mukmin membetulkan niatnya mencari rezeki kerana Allah SWT, mereka akan melakukan pekerjaan yang halal, jujur dan ikhlas tanpa mempertikaikan jumlah rezeki yang diperoleh.
Setiap manusia dalam dunia ini mempunyai bentuk rezeki yang berbeza. Ada yang mendapat rezeki dalam bentuk material seperti kenaikan pangkat atau jumlah pendapatan yang banyak. Terdapat juga mereka yang gajinya tidak besar tetapi kesihatannya sentiasa baik, anak yang pintar dan sebagainya.
Niat kerja sebagai ibadah
Justeru, niat bekerja sebagai satu ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT akan membetulkan hati manusia untuk melihat rezeki yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah SWT semata-mata, bukan dari manusia.
Begitu juga niat bekerja mencari rezeki untuk membantu umat Islam yang lain akan meluruskan hati seseorang Mukmin untuk ikhlas dalam pekerjaannya lalu berbuat baik dengan rakan sekerja.
Niat yang baik ini akan mengikis sebarang akhlak buruk seperti dengki, khianat, busuk hati terhadap rakan sekerja kerana niat yang baik akan meluruskan setiap perbuatan dan perlakuan seseorang Mukmin.
Katanya, Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan sahabat untuk bekerja dengan niat kerana Allah SWT. Orang yang berniat kerana Allah SWT umpama juga melaksanakan perbuatan di jalan Allah SWT (fisabilillah).
Dalam satu hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Ka'ab bin Ujrah, ketika melihat seorang lelaki sedang gigih bekerja, sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kalaulah lelaki ini bekerja kuat dan gigih untuk fisabilillah." Lalu Nabi Muhammad SAW membetulkan sudut pandang sahabat bahawa apa yang dilakukan oleh lelaki itu yang bekerja dengan bersungguh-sungguh itu juga adalah bekerja di jalan Allah SWT.
Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi: "Jika seseorang manusia yang bekerja untuk menyara ibu bapanya, bekerja untuk menyara dirinya daripada meminta sedekah, bekerja untuk mencari rezeki yang halal, pekerjaan seseorang itu umpama fisabilillah. Namun, jika manusia itu bekerja untuk riak, untuk mendapat pandangan manusia, untuk berlaku tidak adil sesama manusia, seseorang itu telah melaksanakan pekerjaan yang menuruti perbuatan syaitan."
Oleh itu, umat Islam harus sedar bahawa bekerja dengan niat yang betul, akhlak dan perbuatan yang baik adalah tempat jatuh pandangan Allah SWT kepada seseorang Mukmin yang pastinya tidak saja mendapat pendapatan yang berkat tetapi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Amalan bangun awal pagi
Mohd Nazrul berkata, untuk mendapat rezeki yang berkat seseorang Mukmin juga mesti membiasakan diri dengan amalan bangun pada awal pagi. Nabi Muhammad SAW berdoa agar Allah SWT memberkati umatnya yang bangun pada awal pagi.
Justeru, menjalani kehidupan di awal pagi bukan bertujuan untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi untuk mendapat keberkatan doa Baginda SAW dan kerana taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Ulama dan sahabat memulakan hari mereka seawal pagi untuk merebut doa Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat kehidupan yang berkat.
Bagi sesetengah ulama yang menjalankan perniagaan, pada siang hari mereka gigih mencari rezeki dan apabila menjelang malam, mereka menghabiskan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.
Hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan mencukupi adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah, tetapi sering kehabisan dan tidak mendatangkan kebaikan. Begitu juga bentuk pekerjaan dan di manapun tempat bekerja, ia adalah tempat jatuhnya pandangan Allah kepada setiap hambanya.
Oleh itu, jalanilah pekerjaan dengan amanah dan sebaik mungkin untuk mendapat kehidupan yang berkat dan ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

Jaga Keberkatan Rezeki

Oleh:  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad.
Nota:  Artikel tulisan saya ini telah diterbitkan oleh Majalah Harmoni, Mei 2011.



Dalam hidup ini semua orang perlu mencari rezeki apabila sudah sampai usia dan waktunya.  Rezeki yang dicari ini pula boleh dengan pelbagai cara, cara yang baik boleh dan cara yang buruk juga boleh.   Tepuk dada tanyalah iman kita.  Tuntutan hidup dan kos saraan yang semakin tinggi memerlukan setiap dari kita melakukan lebih dari satu pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian, bil-bil, ansuran rumah dan kenderaan, yuran dan keperluan sekolah anak-anak dan sebagainya.  Ada yang berniaga pasar malam, menjual nasi lemak dan pisang goreng, menceburkan diri dalam perniagaan MLM, dan sebagainya.  Bagi mereka yang malas melakukan lebih dari satu kerja mula memikirkan cara yang lebih cepat untuk menambah pendapatan seperti pecah amanah, menipu dan rasuah.  Walau pun cara itu salah, demi keseronokan dan janji dunia, mereka sanggup dan berani melakukannya.

Yang penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita dapat tetapi sebaliknya ada atau tidak keberkatan dalam rezeki itu.   Pernah satu ketika seorang bapa datang kepada saya dan mengadu hal anak-anaknya.  Katanya dia mempunyai lima orang anak, anak yang pertama hingga ketiga semuanya bagus dan cemerlang tetapi anak keempat dan yang bongsu sangat bermasalah.  Mereka suka keluar malam, tidak solat, menipu, melepak, malas belajar dan degil.  

Setelah mendengar keluhan bapa itu lalu saya cuba menduga, mungkin cara didikannya tidak sama dengan tiga anak yang pertama, atau masanya dengan mereka kurang, atau beliau tidak lagi menjadi pendengar yang baik bagi anak-anaknya.  Namun semuanya itu dinafikan oleh sibapa.  Lalu saya minta bapa itu semak sumber makanan kalau-kalau ada dari sumber yang haram.  Ketika itu wajahnya berubah.  Dia akui bahawa sewaktu membesarkan tiga anak yang pertama dia begitu dedikasi dan jujur.  Dia benci sebarang sogokan dan rasuah.  Tetapi apabila sudah bertahun-tahun bekerja dan melihat ramai orang disekelilingnya makan rasuah macam makan nasi maka dia merasakan bahawa semuanya itu adalah amalan biasa lalu turut terlibat sama.  Dua anak terakhirnya menjadi mangsa dari rezeki haram itu.  Bila sudah begini jadinya pada siapa mahu disalahkan,  pada anak atau pada diri sendiri.  Bapa itu sedar akan kesilapannya lalu menangis tetapi semuanya sudah berlaku.  Saya minta beliau buat solat taubat dan minta ampun pada Allah.

Apabila rezeki tidak berkat ujian datang bertimpa-timpa.  Telefon bimbit rosak, kereta rosak, emak sakit, rumah dimasuki pencuri, kena samun dan macam-macam lagi.  Semuanya tujuannya hanya satu iaitu supaya duit yang kita dapat itu keluar dari poket kita secara terpaksa.  Kalau selalu sangan Allah uji, habis satu masalah datang pula masalah yang lain, maka mungkin sudah sampai masanya kita muhasabah diri dan bertanya sama ada rezeki kita itu berkat atau tidak?  Kalau tidak berkat apa puncanya?  Sebab ada ketikanya Allah uji sesorang itu bagi menaikkan darjat dan martabatnya tetapi ada ketikanya pula sebagai satu pengajaran dan bala baginya.

Antara kesan daripada rezeki yang berkat:


1)   Kita sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang diperolehi sentiasa cukup malah berlebihan.  Tidak terfikirkah kita bagaimana orang yang tinggal di kampung dan luar bandar boleh membesarkan sepuluh orang anak dengan hanya membanting tulang menoreh getah atau  menuai padi.  Sedangkan kita di bandar dengan gaji beribu dan hanya dua tiga orang anak tidak pernah merasa cukup.  Malah ada yang bergaji lebih sepuluh ribu ringgit tetap tidak merasa cukup. Jika rezeki kita berkat maka Allah akan cukupkan keperluan kita.

2)   Akhlak dan perilaku suami, isteri dan anak-anak hebat.   Banyak masalah sosial anak-anak dan penceraian berlaku hasil dari rezeki yang tidak berkat.  Apabila rezeki itu berkat ia akan dapat dilihat melalui aklah anak-anak yang positif dan perilaku mereka yang cemerlang.  

3)   Mudah menjaga solat dan melakukan ibadah lain seperti umrah dan haji.  Apabila rezeki yang diperolehi itu berkat, hati kita bersih dan minda kita tenang.  Mudah bagi kita untuk solat dan beramal ibadat.  Rezeki yang berkat akan memudahkan kita sampai ke tanah suci Mekah.  Ramai orang yang mendapat rezeki yang tidak berkat takut untuk ke tanah suci kerana bimbang akan balasan Allah secara tunai di dunia ini.  Walhal, tanah sucilah tempat untuk bertaubat, membersihkan diri dari dosa dan memohon keberkatan.

4)   Orang di sekeliling suka kita.  Apabila rezeki kita berkat semua orang sayang kita.  Sebab kita suka belanja mereka dan mehulurkan sedekah dan bantuan.  Orang suka dekatikita kerana mereka dapat rasakan keikhlasan dan aura positif yang terpancar dari dalam diri kita.

5)   Orang suka datang rumah dan menziarahi kita.  Rumah kita bagikan magnet.  Ada sahaja saudara, kenalan atau jiran yang mengunjungi kita.  Mereka yang datang itu akan bawa pahala dan pukangnya mereka akan menghapuskan dosa kita.  Malah, rezeki pula bertambah murah dan ada sahaja yang kita perolehi tanpa disangka-sangka.

6)   Anak-anak cemerlang dalam pelajarannya.  Apabila rezeki itu berkat, jiwa dan minda anak-anak juga bersih.  Jiwa dan minda yang bersih membolehkan mereka tumpu pada pelajaran dan apa yang dipelajari itu pula mudah difahami dan lekat dalam kepala.  Hasilnya, keputusan peperiksaan anak-anak cemerlang.  Malah anak kita juga menjadi contoh dalam banyak perkara dan aktiviti disekolah.  Dia dilantik untuk memegang jawatan dan menjadi kesayang guru dan rakan.

7)   Doa yang makbul.  Keberkatan rezeki membuatkan permohonan dan doa kita dimakbulkan oleh.  Sebab Nabi SAW memang ada menegaskan bahawa antara faktor yang menghalang makbulnya doa itu adalah makanan dari sumber yang haram.

Begitulah antara kesan positif yang diperoleh daripada rezeki yang berkat.  Kita perlu faham rezeki yang berkat bukan sahaja bermakna bebas dari rasuah atau wang diperolehi daripada aktiviti yang haram.  Ada ketikanya, sikap curi tulang, tidak amanah dalam kerja, tidak mencapai kualiti kerja, malas dan sebagainya sewaktu menjalankan pekerjaan boleh menyumbang kepada tiada keberkatan rezeki.  Sebab itulah, dalam apa juga yang kita lakukan dalam mencari rezeki maka lakukanlah dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan amanah.  Insya Allah, apabila rezeki berkat kita dinaikkan pangkat dan satu hari mendapat anugerah pekerja cemerlang.





Friday 16 March 2018

Hikayat Sang Kancil : Sang Kancil Dan Buaya

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya..

Hikayat Sang Kancil : Sang Kancil dan Monyet

Nyamannya suasana rimba di pagi hari 
Mergastua bergembira menikmati keindahan alam semulajadi
Di sinilah tinggalnya sang kancil yang bijaksana dan sahabat karibnya kura-kura



Thursday 15 March 2018

Kisah Keberkatan Solat

OLEH ROKHAIZAT RAHMAT, PADA 4 NOV 2015



Sedikit perkongsian, tentang solat dan keberkatan waktu yang ada di dalamnya.

Saya yakin setiap orang pernah merasa walaupun hanya sekali, secara sedar atau sebenarnya banyak kali berlaku tetapi tidak sedar tentang keajaiban tersebut.

Saya pernah, sebenarnya banyak kali tetapi hanya ingin kongsikan dua kisah sepanjang kehidupan saya, begitu dekat dengan saya, dan ia terkait dengan soalt dan keberkatan waktunya.

■■Kisah Keberkatan 1■■
Ketika di Matrikulasi UIAM dahulu, kira-kira 10 tahun yang lalu, saya ada seorang pensyarah yang bernama Mrs. Jagdish Sidhu. Beliau mengajar saya subjek ‘Reading’.

Selalu saya kelam kabut mengejar utk sampai ke kelas beliau daripada kelas sebelumnya. Kelam kabut nak makan, kelam kabut nak solat, kelam kabut semula nak ke kelasnya di bangunan SMAWP.

Lambat seminit, pasti akan dihalau keluar. Beliau akan sentiasa mengelek jam dinding di celah ketiaknya dan semua orang kena ikut waktu jam yang dibawanya.

Pernah sekali, saya solat Zohor lama sangat. Baca dengan penuh khusyuk dan menghayati maksud. Sebenarnya dengan harapan, saya terlepas waktu dan tidak perlu tergesa-gesa ke kelas tersebut.

Apa yang terjadi ialah sebaliknya. Waktu masih banyak! Dan saya berlenggang ke kelas beliau. Pun masih ada waktu berbaki setelah saya sampai ke kelas.

Saya jadi wow! Walaupun sebenarnya ada sedikit kerungsingan, kenapa sudah solat lama-lama pun tapi masih ada waktu berbaki untuk pergi ke kelas. Seolah-olah jarum jam tidak bergerak?

Bila kenangkan semula, itulah keberkatan waktu solat. Solat yg didirikan tanpa kelam kabut, menghasilkan waktu yg lebih byk selepas itu.


■■Kisah Keberkatan 2■■

Berlaku ketika saya menguruskan anak bersendirian (‘Ulya) dan suami yang jauh di Makkah. Saya selalu kesuntukan waktu untuk mengulangkaji pelajaran sekiranya tiba musim sejuk kerana biasanya kami akan sama-sama sakit.

Akan sama-sama meredah hujan. Akan silih berganti demam, selsema dan batuk. Pernah sehingga saya pitam dan hampir pengsan mengurusi diri sendiri dan anak. (MashaAllah hebat sungguh ibu-ibu tunggal di luar sana!)

Pada suatu hari yang sepatutnya saya perlu menghadapi peperiksaan Sirah Nabawiyyah, Dr. Khalid Syurman. Saya telah keluar awal sejam untuk bertemu Doktor. Meminta syafaatlah kononnya untuk membenarkan saya menangguhkan peperiksaan ke hari berikutnya. Ekoran dari tidak habis belajar lagi matapelajaran tersebut.

Doktor hanya senyum dan cakap, Allah akan tolong kamu. (Beliau tahu kondisi saya berjauhan dengan suami dan ada anak bersama saya).

Saya tidak banyak bercakap dan terus mencari sudut tertutup di tingkat yang sama. Saya bentangkan tuala good morning dan solat sunat 2 rakaat.

Saya tidak tahu hendak solat apa. Saya tidak solat hajat, saya hanya solat sunat. Teringat ustazah kat Dq pernah bagitahu, kalau dah boring sangat tak tahu nak buat apa, solat sunat.

Jadi, saya buntu, tak tahu nak solat apa, saya terus solat sunat dan solat dgn agak lama.

Ajaibnya.

Masa menjadi begitu panjang, hati saya begitu tenang, otak dan fikiran saya terasa lapang dan pelajaran mudah masuk. MashaAllah! Subhanallah! Dan saya masih ingat, ketika dapat kertas jawapan tersebut, Dr senyum pada saya dengan beberapa taujihat yg masih saya ingat sampai sekarang.

MashaAllah.Di dunia lagi Allah telah menunjukkan kekuasaanNya.

Suami juga ada berkongsikan sesuatu yang berkaitan dengan solat. Kata beliau, Dr. Abd Jalil Dhomroh ketika di dalam kelas sempat mengisahkan bagaimana waktu solat yg dibiarkan tanpa mengerjakan solat selepas bermulanya waktu solat tersebut adalah dinilai sebagai lalai.

Lalai dari mengingati Allah SWT. Sebagai contoh, setiap sejam terlewat daripada awal waktu solat, maka 1/24 jam kita dinilai sebagai lalai.

Lebih malang lagi, jika setiap waktu terlewat, semakin besar nisbah lalai kita di sisi Allah. Sekiranya masuk waktu, dan terus menunaikan solat, maka waktu yg selepasnya itu dikira sebagai waktu yg sentiasa mengingati Allah.

Cuba kira berapa nisbah hitungan lalai kita dalam hari ini, minggu ini, dan bulan ini.

Kata suami lagi memberi contoh.

“Tengok ayah, kalau dia buat kerja macamana pun mesti dia berhenti bila masuk waktu solat..”

“Tengok Tok Guru (Nik Aziz). Kalau ke mana-mana, benda pertama yang dia akan tanya dulu pada pemandunya, nanti kita akan solat di mana.”

Tok Guru, siap pesan lagi pada pemandunya, setiap setengah jam sebelum waktu solat, kena berhenti di mana-mana masjid.

Dan saya teringat, ibunda kepada artis terkenal. Suka ayah saya melihatnya, bersedia awal sebelum masuk waktu solat. Awal lagi telah dihamparkan sejadah untuk bersolat.

Mukanya cerah bersih, sejuk mata memandang walaupun usianya telah mencecah 70 tahun. Subhanallah. Cahaya orang yg menjaga solatnya.

Subhanallah.

Betapa besar impak solat di dalam kehidupan kita. Padanya ada masa yang berkat. Padanya ada hidup yg nikmat.

Semoga kita semua tergolong dikalangan mereka yg bertaqwa dan beramal soleh. Sentiasa meletakkan akhirat di hadapan tanpa meninggalkan dunia. Dan tidak meletakkan dunia di hadapan, jauh melupakan akhirat, negeri yg kekal abadi.

Wallahu A’lam.

Baytul ‘Ulya, Irbid Jordan.







Melayu, lelaki paling ramai muflis


KUALA LUMPUR – Seramai 100,610 orang telah diisytiharkan muflis dalam tempoh empat tahun sejak 2013 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 69.11 peratus adalah lelaki dan selebihnya wanita.

Sebanyak 14.2 peratus yang telah dilepaskan daripada status muflis untuk tempoh yang sama.

“Bagi tempoh 2013 hingga 2017 seramai 100, 610 telah diisytiharkan muflis dan daripada jumlah tersebut 14, 108 orang atau 14.2 peratus orang bankrap telah dilepaskan,” katanya menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

Menurutnya lagi, golongan  muflis paling ramai adalah Melayu dengan 54.21 peratus, Cina (27.66), India (12.73) dan lain-lain (5.4).

Razali menambah, pemindaan Akta Insolvensi 1967 menerusi had minimum kebankrapan yang dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dapat mengurangkan jumlah rakyat yang berpotensi diisytihar sebagai muflis.- MalaysiaGazette

Kisah 'kaki botol' kembali ke pangkal jalan


BUKAN setakat digelar 'kaki botol' dan 'pendosa', orang yang gemar meneguk minuman keras turut dilemparkan dengan panggilan 'sampah masyarakat'!

Tabiat buruk mengambil minuman keras dalam kalangan sesetengah orang Melayu boleh diibaratkan sebagai api dalam sekam. Perbuatan yang berdosa ini sememangnya tidak disenangi sebahagian besar masyarakat Melayu tetapi masih ada yang melakukannya secara diam-diam.

Penulis berkesempatan berbual dengan seorang lelaki Melayu sekitar usia 58 tahun ketika berkongsi meja sambil bersarapan di Medan Selera Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru Kuala Lumpur baru-baru ini.



Bermula dengan perbualan lokasi kedai makan menarik di sekitar bandaraya, bicara pagi dengan  Abang Mat (bukan nama sebenar) yang memandu teksi sebagai mata pencarian kemudiannya menyentuh hal yang lebih berat termasuklah penjagaan kesihatan.

“Saya dahulu umur 23 dah kena darah tinggi. Masa itu saya kuat minum arak,” Abang Mat membuat pengakuan.

Sedikit terkejut dengan keterbukaan beliau berkongsi cerita, penulis tidak mahu menyimpan perasaan buruk sangka terhadap Abang Mat, cuba mahu fokus kepada kisah pengakuannya semata-mata.

Pengaruh rakan sekerja

Abang Mat memberitahu penulis beliau mula minum arak (bir) pada usia yang amat muda, belum pun mencecah 20 tahun sewaktu berkhidmat dengan pasukan keselamatan.

"Dahulu minum bir arak sambil makan sate. Masa tu bertugas dalam hutan, duit ada, dalam hutan minum, keluar hutan pergi joli."

"Bir sebotol baru seringgit lebih. Murah. Bukan macam sekarang dah berbelas ringgit," sambung beliau.

Tabiat minum arak tetap diteruskan meskipun selepas berhenti daripada perkhidmatan pasukan keselamatan pada 1982 dan kemudiannya merantau ke Kuala Lumpur.

Perubahan gaya hidup daripada aktif bergerak sewaktu bekerja di dalam hutan kepada kerja sebagai pengawal keselamatan yang tidak memerlukan pergerakan fizikal yang banyak akhirnya memudaratkan kesihatan Abang Mat.

“Bila kerja hanya duduk tetapi masih minum arak dan kuat makan seperti kerja dalam hutan, tanpa disedari penyakit darah tinggi sudah datang menghinggap. Saya tak sedar hal ini sehingga saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan untuk masuk kerja bank sebagai kerani,” beliau meneruskan cerita.

Dari saat itu, timbul kesedaran untuk Abang Mat menjaga kesihatan diri. Beliau menjadikan tugasan hariannya yang perlu berulang-alik ke Bank Negara untuk menunaikan cek sebagai peluang bersenam dengan cara berjalan kaki.

Hidup mewah

Cuma malangnya tabiat meneguk arak masih sebati dalam diri Abang Mat. Beliau juga masih bekeja sebagai pengawal keselamatan di waktu malam meskipun sudah mempunyai pekerjaan yang selesa.

Beliau mencari wang lebih untuk dihantar ke kampung untuk membantu ayah dan emaknya.

Inilah satu perkara menarik yang penulis dapati daripada cerita Abang Mat iaitu motivasi beliau bekerja amat jelas iaitu untuk membalas budi dan jasa orang tuanya.

Gaji bulanan RM650 sebagai kerani bank ditambah RM350 sebagai pengawal keselamatan menjadikan pendapatan bulanannya melebihi gaji pegawai yang mempunyai ijazah.

Ini membolehkan beliau hidup mewah  tambahan kos sara hidup yang rendah pada waktu itu.

Merantau ke Singapura

Demi menggalas cabaran baharu, Abang Mat meletakkan jawatan sebagai kerani dan mula bekerja di tapak pembinaan di Singapura dengan gaji harian sebanyak SGD 60 sehari.

Bagi Abang Mat, beliau perlu kembali membuat pekerjaan yang menggunakan kudrat tulang empat keratnya agar sambil bekerja beliau boleh menjaga kesihatan diri.

“Minum tetap minum tapi kerja kontrak hari-hari berpeluh. Lenjun. Masa itu badan memang sedap betul. Kita kalau banyak berjalan, banyak berpeluh nanti penyakit darah tinggi, kencing manis tak lekat. Saya waktu kerja di sana, darah tinggi terus hilang,” kata beliau.

Sedekad lamanya beliau berulang menyeberang Tambak Johor untuk mencari rezeki. Kehidupan Abang Mat memang senang dengan kadar tukaran wang yang memberi nilai besar kepadanya, yang secara tidak langsung terus membuatkan beliau mampu meneruskan tabiat minum araknya.

"Waktu ini balik Malaysia aja tukar duit, terus jadi kaya. Duduk minum mesti tiga botol besar letak sekali atas meja. Harga baru RM4.50 sebotol. Gaji sehari SGD60 tukar sini dah dapat RM120. Apa nak risau?" katanya.

Kematian ayah

Kematian ayah yang dikasihi kemudiannya memberi kesan mendalam kepada kehidupan Abang Mat. Rasa kesal tak berkesudahan! Beliau hanya tahu ayahnya meninggal dunia selepas tiga minggu jenazah ayahnya dikebumikan.

"Masa ayah meninggal dunia, abang tengah enjoy di Thailand . Zaman itu mana ada telefon. Bila kembali ke Singapura nak kerja, jumpa saudara yang tinggal di sana barulah mereka beritahu.

“Memang sedih sangat. Abang menangis tak berhenti. Abang tak dapat balik terus ke kampung kerana dah tak ada duit. Kena kerja dulu dan bila dapat gaji, abang balik ke kampung.

"Sampai ke kubur ayah, tanahnya masih lagi merah,” kata beliau sambil merenung jauh kepada orang ramai yang lalu lalang di sekitar medan selera.

Sekembalinya ke Singapura, jiwanya menjadi amat tertekan dan semakin banyak arak yang diteguknya untuk menghilangkan tekanan.

Tidak tahan lagi dengan tekanan perasaan, akhirnya Abang Mat membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Jalan pulang

Sekembalinya beliau ke ibu kota, beliau banyak bekerja dengan golongan VVIP sebagai pengawal keselamatan. Abang Mat mengakui amat sukar untuk beliau meninggalkan tabiat minum arak kerana keadaan persekitarannya.

Hanya pada 2001 segalanya berubah bagi Abang Mat. Ibu yang disayangi pula kembali ke rahmatullah dan kematian ibu tersayang membuatkan beliau amat insaf dengan keadaan diri dan memutuskan untuk berubah.

"Waktu itu abang punya keadaan dah tahap ketagih arak. Kalau tak minum badan menggigil-gigil. Bir biasa dah tak ada keseronokan.

"Abang campur dengan arak cina, arak siam memang dah kuat dah tapi badan abang dah tak rasa apa. Semuanya serba-serbi tak kena tapi abang tahu arak ni kalau sampai tahap tinggi sangat nanti boleh terbakar hati. Jadi dengan mak pun dah meninggal, abang pun rasa daripada abang cari arak yang lagi ‘kuat’, baik abang berhenti."

Sehingga hari ini sudah 11 tahun Abang Mat berhenti minum arak dan tiada lagi niat di hatinya untuk kembali menjadi "kaki botol"!

Pada umur hampir 60 tahun, beliau meneruskan hidup secara sederhana sebagai pemandu teksi yang peramah dan bersedia berkongsi kisah pahitnya tatkala menjadi pemabuk agar dapat memberi keinsafan kepada orang lain.

Tatkala penulis melangkah meninggalkan Abang Mat, hati kecil penulis turut mendoakan semoga beliau menemui kedamaian hidup dalam kesunyian tanpa emak dan ayahnya!- Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...