Saturday 17 March 2018

Kelebihan Istighfar


#1 – Diampunkan Dosa-Dosanya oleh Allah swt
Kita adalah seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering jatuh tersungkur di lembah maksiat.
#2 – Dimakbulkan Permintaan & Hajat
Orang yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah swt pasti sentiasa dibersihkan dari dosa-dosanya. Apabila seseorang hamba itu bersih dari dosa maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah swt kerana dekatnya dia di sisi Allah swt. Adalah tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu
#3 – Bertambah Kekuatan
“Tiada daya dan kudrat melainkan hanya dengan Allah swt,” itulah fitrah kejadian manusia. Segala kekuatan hanya milik Sang Pencipta. Betapa setiap ujian dan cabaran dalam hidup yang ada pasang surutnya membuatkan kita lelah.
#4 – Mudah Mendapat Zuriat
Para ulama’ menyarankan kepada setiap pasangan yang berhajat pada zuriat untuk memperbanyakkan amalan istighfar. Antara kisah yang boleh dikongsi di sini adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Shabih tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan al-Basri kerana hal ini.
#5 – Menyembuhkan Penyakit
Seorang da’i yang hanya dikenali sebagai Ustaz Danu telah berkongsi tentang pengalamannya selama 15 tahun yang meneliti bahawa terdapatnya hubungkait suatu penyakit dengan kebiasaan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh seorang pesakit.Menerusi pemerhatian inilah dia akhirnya menyimpulkan bahawa istighfar merupakan salah satu jalan kepada kesembuhan penyakit. Semua yang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk menghadapi ujian penyakit yang dialami akan diusulkan agar memperbanyakkan istighfar. 
#6 – Menyejukkan Hati Isteri yang Sedang Marah

Dikisahkan tentang seorang hamba Allah yang telah bertengkar dengan isterinya mulai saat dia tiba di rumah sehingga menjelang Subuh. Teruknya keadaan mereka suami isteri bertengkar sehingga si isteri membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan pulang kepada orang tuanya.
Kecewa kerana gagal memujuk si isteri, hamba Allah ini telah pergi ke masjid dalam keadaan marah dan beremosi ketika isterinya sibuk mengemas pakaian. Selepas solat Subuh berjemaah, hamba Allah ini memilih untuk beristighfar selama sejam bagi menenangkan dirinya dari terus pulang ke rumah.

 Usai beristighfar dia kembali ke rumah namun alangkah terkejutnya dia apabila melihat si isteri sedang menanti dengan wajah yang manis dan ceria. Lebih menghairankan apabila si isteri juga meminta maaf atas keterlanjuran dan pertelingkahan yang berlaku sepanjang malam itu.

Hamba Allah ini lalu bertanya si isteri apa yang berlaku sehingga si isteri boleh berubah. Si isteri menjawab bahawa dia juga tidak tahu namun sejak sejam yang lalu hatinya tiba-tiba merasa tenang dan jiwanya jadi tenteram. Si isteri juga jadi sedar pada kesilapannya. Hamba Allah ini lantas teringat bahawa pada sejam itulah dia sedang khusyuk beristighfar. Hamba Allah ini sangat bersyukur atas bantuan Allah swt dalam mendamaikan hati mereka berdua.

Mungkin ada kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar atau tidak kepada Allah swt sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga kita. Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya. Kembalilah kepada Allah swt atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon ampun. InsyaAllah akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita.
#7 – Dijauhkan dari Azab & Bala
Mintalah ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika bila Allah swt mengurniakan keampunan kepada kita. Jangan berhenti mengharapkan keampunan Allah swt kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah swt sebagai asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia dan di akhirat.
Seorang pemotong daging telah ditanya oleh seorang ulama’ tentang amalan apakah yang sering dilakukannya sehingga kubur ayahnya begitu lapang dan bercahaya. Amalan apakah yang menyebabkan ayahnya tidak diazab di alam barzakh sedangkan penghuni kubur yang lain berada dalam dukacita.
Ternyata jawab si pemotong daging bahawa dia tidak pernah berhenti memohon keampunan Allah swt untuk ayahnya dan amalan inilah yang menyelamatkan ayahnya di sana.
#8 – Ditambah Nikmat & Kekayaan
Dr Azizan Osman, seorang jutawan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamanamat menegaskan amalan istighfar kepada para pelajarnya selain amalan sedekah. Seorang peniaga minyak wangi yang berjaya pula pernah menasihati saya untuk mengamalkan sekurang-kurangnya 70 kali istighfar sebelum memulakan sesi perniagaan.
#9 – Memberatkan Timbangan Akhirat & Diangkat Ke Syurga
Kesayangan Rasulullah saw, Saidatina Aisyah ra pernah berkata:
“Beruntunglah orang-orang yang menemukan istighfar yang banyak pada setiap lembar catatan harian amal mereka.” 
#10 – Penyelesaian Setiap Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan
Perkongsian ini dari seorang ulama’, Ibnu Taimiyyah Rahimahullah. Menurut pengalaman beliau:
“Sungguh, kadang-kadang terlintas di hatiku suatu persoalan yang sulit untuk aku fahami, maka aku beristighfar kepada Allah, sehingga dadaku menjadi lapang dan persoalan itu terpecahkan. Terkadang aku berada di pasar, masjid atau sekolah, hal itu tidak menghalangiku untuk mengucapkan istighfar, hingga aku memperoleh yang aku inginkan.”
Keyakinan para ulama’ dalam melazimi istighfar telah memberi manfaat kepada mereka untuk memahami dan mendalami persoalan ilmu sehingga menjadi pakar dalam bidang mereka. Istighfar juga memudahkan segala urusan dan menyelesaikan masalah sehingga mereka dapat mengatur masa dalam kesibukan mereka belajar, mengajar, bekerja dan menulis kitab. Dari Ibni Abbas ra, baginda Rasulullah saw juga bersabda:

“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad

#11 – Menggembirakan Allah & Dicintai Allah
Pasti matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah swt. Mudahan redha Allah swt membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga. Redha Allah swt akan diperolehi apabila kita menggembirakan Allah swt dan istighfar adalah jalannya. Rasulullah saw bersabda:

“Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang dari kalian yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Rasulullah saw juga bersabda:
“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.”
 Riwayat Ibnu Majah

Sumber : https://tazkirah.net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...