Monday 12 March 2018

Akhlak mulia seorang jururawat

Oleh : Johari Yap
13.03.2018
Sinar Harian 

SAHABAT baik saya baru sahaja kehilangan ayahnya yang sekian lama menderita sakit kanser prostat.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayahnya telah dimasukkan ke dalam wad di Hospital USM (HUSM) selama enam bulan.

Ibunya setia menjaga ayahnya selama enam bulan di hospital bagi memastikan ayahnya selesa dalam menghabiskan sisa kehidupan.

Yang menarik perhatian saya juga adalah layan mesra dan penuh ikhlas jururawat yang bertugas di wad tersebut.

Walau berlainan bangsa dan agama, layanan yang diterima sama dengan pesakit-pesakit lain.
Mungkin kerana ayah sahabat saya sudah berada di wad tersebut untuk jangka waktu yang lama, mereka amat mengenalinya dan keluarga terdekat.

Yang paling menyentuh hati saya adalah pada saat doktor mengesahkan pemergian mendiang, jururawat tersebut telah memeluk erat isteri mendiang sambil mengucapkan kata-kata semangat, seolah-olah mereka telah bersahabat puluhan tahun lamanya.
Betapa mulia akhlaknya. Inilah dakwah yang terbaik sebenarnya, dengan menonjolkan akhlak Islam yang mulia.

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa sudah menjadi tanggungjawab jururawat untuk merawat dan menjaga pesakit dan mereka dibayar untuk melakukan tugas-tugas tersebut.
   
Persoalannya, berapa ramai antara kita yang sanggup melakukan apa yang mereka lakukan? Sanggupkah anda bergelumang dengan nanah dan darah setiap hari? Ada yang terpaksa membersihkan najis dan luka pesakit yang kadangkala berbau busuk.

Mungkin ramai yang tidak sanggup walaupun pesakit merupakan ahli keluarga sendiri. Cuba bayangkan jika tidak ada seorang pun yang sanggup menjadi jururawat?

Kerjaya sebagai seorang jururawat memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Mereka bertanggung-jawab menjaga pesakit sehingga pesakit benar-benar sembuh.

Sebagaimana lumrah, pesakit juga bermacam ragam. Ada yang sabar dan baik dan ada yang cerewet.
Ada juga yang mahu dilayan seperti raja. Walau apa pun kerenah pesakit, mereka tetap perlu dilayan dengan baik setiap masa.

Setiap jururawat perlu mempunyai tahap kesabaran yang amat tinggi untuk menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit.
Mereka juga perlu menangani kecemasan yang melibatkan nyawa pesakit sementara menunggu kedatangan doktor.

Peranan mereka bukan sekadar membantu doktor tetapi mereka juga harus memastikan kelancaran tugas merawat serta menjalankan prosedur klinikal ke atas pesakit.

Dalam keadaan sebegini, setiap jururawat itu sebenarnya sangat beruntung. Mereka berpeluang meraih begitu banyak pahala dengan membantu pesakit siang dan malam, tidak kira bangsa, agama, warna kulit ataupun kedudukan, selagi mana kerja itu dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Setiap jururawat berpeluang menyantuni pesakit. Mereka merawat dan menjaga pesakit dalam wad. Pesakit yang sudah sihat pula seharusnya menghadiahkan mereka dengan senyuman serta ucapan terima kasih.

Di samping itu, jururawat juga kerap berhadapan mereka yang menghadapi kematian, tidak kira peringkat umur, kerana ajal tidak mengira usia.
Setiap kali menyaksikan kematian, ia umpama suntikan keinsafan buat mereka, satu peringatan bahawa hidup ini sementara dan mati itu pasti.
Ada kalanya pekerjaan jururawat juga dihina dan difitnah. Pelbagai tohmahan dilontarkan; ada jururawat yang dikatakan pemalas, suka bercakap kasar serta tidak cukup cakna.

Beberapa minit yang digunakan untuk berehat setelah beberapa jam bekerja tanpa henti, diambil gambar oleh mereka yang tidak berpuas hati lalu ditularkan di media sosial, kononnya mencuri tulang ketika bekerja.
Itulah juga antara cabaran seorang jururawat era moden. Mereka sibuk menjaga pesakit yang tidak dikenali walaupun mereka juga mungkin mempunyai anak yang demam di rumah.

Seharusnya kita berterima kasih kepada semua jururawat di luar sana. Mereka menjaga kita ketika kita sakit di hospital, mereka juga membantu menjaga ahli keluarga atau saudara mara kita yang perlu berada di dalam wad ketika kita sibuk dengan kerja dan urusan masing-masing.

Mereka menggalas tanggungjawab menjaga ahli keluarga kita yang sakit yang sepatutnya kita lakukan.
Kepada para jururawat, teruskanlah berbakti kepada masyarakat dengan ikhlas dan sebaiknya. Semoga ALLAH menerimanya sebagai ibadat dan membalas segala kebaikan anda dengan syurga, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...