Thursday 15 March 2018

Kisah 'kaki botol' kembali ke pangkal jalan


BUKAN setakat digelar 'kaki botol' dan 'pendosa', orang yang gemar meneguk minuman keras turut dilemparkan dengan panggilan 'sampah masyarakat'!

Tabiat buruk mengambil minuman keras dalam kalangan sesetengah orang Melayu boleh diibaratkan sebagai api dalam sekam. Perbuatan yang berdosa ini sememangnya tidak disenangi sebahagian besar masyarakat Melayu tetapi masih ada yang melakukannya secara diam-diam.

Penulis berkesempatan berbual dengan seorang lelaki Melayu sekitar usia 58 tahun ketika berkongsi meja sambil bersarapan di Medan Selera Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru Kuala Lumpur baru-baru ini.



Bermula dengan perbualan lokasi kedai makan menarik di sekitar bandaraya, bicara pagi dengan  Abang Mat (bukan nama sebenar) yang memandu teksi sebagai mata pencarian kemudiannya menyentuh hal yang lebih berat termasuklah penjagaan kesihatan.

“Saya dahulu umur 23 dah kena darah tinggi. Masa itu saya kuat minum arak,” Abang Mat membuat pengakuan.

Sedikit terkejut dengan keterbukaan beliau berkongsi cerita, penulis tidak mahu menyimpan perasaan buruk sangka terhadap Abang Mat, cuba mahu fokus kepada kisah pengakuannya semata-mata.

Pengaruh rakan sekerja

Abang Mat memberitahu penulis beliau mula minum arak (bir) pada usia yang amat muda, belum pun mencecah 20 tahun sewaktu berkhidmat dengan pasukan keselamatan.

"Dahulu minum bir arak sambil makan sate. Masa tu bertugas dalam hutan, duit ada, dalam hutan minum, keluar hutan pergi joli."

"Bir sebotol baru seringgit lebih. Murah. Bukan macam sekarang dah berbelas ringgit," sambung beliau.

Tabiat minum arak tetap diteruskan meskipun selepas berhenti daripada perkhidmatan pasukan keselamatan pada 1982 dan kemudiannya merantau ke Kuala Lumpur.

Perubahan gaya hidup daripada aktif bergerak sewaktu bekerja di dalam hutan kepada kerja sebagai pengawal keselamatan yang tidak memerlukan pergerakan fizikal yang banyak akhirnya memudaratkan kesihatan Abang Mat.

“Bila kerja hanya duduk tetapi masih minum arak dan kuat makan seperti kerja dalam hutan, tanpa disedari penyakit darah tinggi sudah datang menghinggap. Saya tak sedar hal ini sehingga saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan untuk masuk kerja bank sebagai kerani,” beliau meneruskan cerita.

Dari saat itu, timbul kesedaran untuk Abang Mat menjaga kesihatan diri. Beliau menjadikan tugasan hariannya yang perlu berulang-alik ke Bank Negara untuk menunaikan cek sebagai peluang bersenam dengan cara berjalan kaki.

Hidup mewah

Cuma malangnya tabiat meneguk arak masih sebati dalam diri Abang Mat. Beliau juga masih bekeja sebagai pengawal keselamatan di waktu malam meskipun sudah mempunyai pekerjaan yang selesa.

Beliau mencari wang lebih untuk dihantar ke kampung untuk membantu ayah dan emaknya.

Inilah satu perkara menarik yang penulis dapati daripada cerita Abang Mat iaitu motivasi beliau bekerja amat jelas iaitu untuk membalas budi dan jasa orang tuanya.

Gaji bulanan RM650 sebagai kerani bank ditambah RM350 sebagai pengawal keselamatan menjadikan pendapatan bulanannya melebihi gaji pegawai yang mempunyai ijazah.

Ini membolehkan beliau hidup mewah  tambahan kos sara hidup yang rendah pada waktu itu.

Merantau ke Singapura

Demi menggalas cabaran baharu, Abang Mat meletakkan jawatan sebagai kerani dan mula bekerja di tapak pembinaan di Singapura dengan gaji harian sebanyak SGD 60 sehari.

Bagi Abang Mat, beliau perlu kembali membuat pekerjaan yang menggunakan kudrat tulang empat keratnya agar sambil bekerja beliau boleh menjaga kesihatan diri.

“Minum tetap minum tapi kerja kontrak hari-hari berpeluh. Lenjun. Masa itu badan memang sedap betul. Kita kalau banyak berjalan, banyak berpeluh nanti penyakit darah tinggi, kencing manis tak lekat. Saya waktu kerja di sana, darah tinggi terus hilang,” kata beliau.

Sedekad lamanya beliau berulang menyeberang Tambak Johor untuk mencari rezeki. Kehidupan Abang Mat memang senang dengan kadar tukaran wang yang memberi nilai besar kepadanya, yang secara tidak langsung terus membuatkan beliau mampu meneruskan tabiat minum araknya.

"Waktu ini balik Malaysia aja tukar duit, terus jadi kaya. Duduk minum mesti tiga botol besar letak sekali atas meja. Harga baru RM4.50 sebotol. Gaji sehari SGD60 tukar sini dah dapat RM120. Apa nak risau?" katanya.

Kematian ayah

Kematian ayah yang dikasihi kemudiannya memberi kesan mendalam kepada kehidupan Abang Mat. Rasa kesal tak berkesudahan! Beliau hanya tahu ayahnya meninggal dunia selepas tiga minggu jenazah ayahnya dikebumikan.

"Masa ayah meninggal dunia, abang tengah enjoy di Thailand . Zaman itu mana ada telefon. Bila kembali ke Singapura nak kerja, jumpa saudara yang tinggal di sana barulah mereka beritahu.

“Memang sedih sangat. Abang menangis tak berhenti. Abang tak dapat balik terus ke kampung kerana dah tak ada duit. Kena kerja dulu dan bila dapat gaji, abang balik ke kampung.

"Sampai ke kubur ayah, tanahnya masih lagi merah,” kata beliau sambil merenung jauh kepada orang ramai yang lalu lalang di sekitar medan selera.

Sekembalinya ke Singapura, jiwanya menjadi amat tertekan dan semakin banyak arak yang diteguknya untuk menghilangkan tekanan.

Tidak tahan lagi dengan tekanan perasaan, akhirnya Abang Mat membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Jalan pulang

Sekembalinya beliau ke ibu kota, beliau banyak bekerja dengan golongan VVIP sebagai pengawal keselamatan. Abang Mat mengakui amat sukar untuk beliau meninggalkan tabiat minum arak kerana keadaan persekitarannya.

Hanya pada 2001 segalanya berubah bagi Abang Mat. Ibu yang disayangi pula kembali ke rahmatullah dan kematian ibu tersayang membuatkan beliau amat insaf dengan keadaan diri dan memutuskan untuk berubah.

"Waktu itu abang punya keadaan dah tahap ketagih arak. Kalau tak minum badan menggigil-gigil. Bir biasa dah tak ada keseronokan.

"Abang campur dengan arak cina, arak siam memang dah kuat dah tapi badan abang dah tak rasa apa. Semuanya serba-serbi tak kena tapi abang tahu arak ni kalau sampai tahap tinggi sangat nanti boleh terbakar hati. Jadi dengan mak pun dah meninggal, abang pun rasa daripada abang cari arak yang lagi ‘kuat’, baik abang berhenti."

Sehingga hari ini sudah 11 tahun Abang Mat berhenti minum arak dan tiada lagi niat di hatinya untuk kembali menjadi "kaki botol"!

Pada umur hampir 60 tahun, beliau meneruskan hidup secara sederhana sebagai pemandu teksi yang peramah dan bersedia berkongsi kisah pahitnya tatkala menjadi pemabuk agar dapat memberi keinsafan kepada orang lain.

Tatkala penulis melangkah meninggalkan Abang Mat, hati kecil penulis turut mendoakan semoga beliau menemui kedamaian hidup dalam kesunyian tanpa emak dan ayahnya!- Bernama





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...