Thursday 12 December 2013

8 Langkah Menjadi Jutawan ( oleh : Irfan Khairi)



Langkah 1: Mulanya di fikiran
Kekayaan bermula di fikiran. Jikalau anda berfikiran negatif mengenai kekayaan, maka, ia akan menjadi penghalang mental anda. Lepasi penghalang mental tersebut dengan berfikiran positif tentang kekayaan. \”Duit banyak bukannya boleh bawak ke kubur\” merupakan salah satu fikiran negatif yang sering diluahkan. Apa kata anda tukar mindset tersebut kepada, \”Duit banyak, nanti lebih banyak amal jariah boleh lakukan, walaupun kita sudah ke kubur!\”
Sekiranya anda inginkan kekayaan, langkah pertama anda adalah untuk membuang segala fikiran negatif tentang kekayaan. Tembusi benteng pertama yang menjadi penghalang kepada kekayaan- iaitu fikiran anda sendiri. Fikirkan boleh!

Langkah 2: Tetapkan matlamat
Dengan keinginan, anda perlu menetapkan matlamat. Keinginan tanpa matlamat merupakan perbuatan yang sia-sia oleh kerana kita tidak tahu arah hala tuju kita. Bayangkan anda menaiki teksi, tetapi tidak mempunyai matlamat destinasi. Silap hari bulan, anda di tendang keluar dari teksi. Dengan mempunyai matlamat, dalam konteks ini, destinasi, maka anda akan dapat menetapkan satu jalan untuk mencapai matlamat anda.
Matlamat bagaikan suatu peta untuk anda sampai ke suatu destinasi. Tanpa peta yang lengkap, anda pasti akan tersasar dari destinasi anda. Tetapkan matlamat yang tinggi untuk diri anda, namun, matlamat tersebut perlu logik diterima fikiran. Sebagai contoh, memperolehi RM1 juta dalam masa 2 tahun bunyinya tidak logik- amat jarang sekali diperolehi oleh seseorang (namun tidak mustahil). Namun, memperolehi RM1juta dalam masa 10 tahun adalah suatu yang logik diterima fikiran dan sering dilakukan oleh jutawan-jutawan di Malaysia. Bagaimanakah caranya? Ikuti langkah-lankah seterusnya…

Langkah 3: Hendak sejuta daya…
Matlamat tanpa usaha adalah sia-sia. Matlamat tanpa usaha adalah umpama \”Angan- angan Mat Jenin\”. Kekayaan dan kejayaan tidak akan jatuh ke riba kita begitu sahaja. Hendak peroleh wang berjuta? Maka, anda perlu letakkan sejuta usaha untuk merialisasikan impian anda. Tiada jalan pintas dalam mencapai kekayaan- usaha adalah tangga kejayaan.
Dalam memotivasikan diri anda untuk berusaha mencapai matlamat anda, anda perlu memberi komitmen setiap hari dalam mencapai impian anda. Setiap hari, lakukan sesuatu untuk dekatkan anda kepada matlamat anda. Jangan tinggalkan sehari tanpa melakukan sesuatu walaupun usaha tersebut adalah sedikit sahaja. Perkataan kaizen yang berasal dari Jepun bermaksud improvement sedikit demi sedikit. Dengan sikap kaizen inilah Jepun berjaya menjadi negara maju yang disegani seluruh dunia.

Langkah 4: Pengetahuan & ilmu
Pengetahuan merupakan faktor penting dalam membina kekayaan. Tiada jalan pintas dalam memperolehi kekayaan. Dengan pengetahuan yang lengkap dalam sesuatu industri, ini akan memudahkan anda mencapai kekayaan dan kejayaan.
Cara mudah untuk mendalami ilmu industri yang anda kecimpung adalah dengan cara membaca. Tanam sifat rajin membaca. Terdapat berbagai-bagai bahan bacaan di pasaran merangkumi topik-topik tertentu. Dengan mendalami pengetahuan dalam industri anda, anda akan menjadi pakar dalam bidang anda sendiri.
Satu perkara penting dalam mencari ilmu adalah anda tidak perlu reinvent the wheel. Kejayaan telah dicapai dalam semua industri. Apa yang anda perlu lakukan adalah pelajari dari mereka yang telah berjaya. Dengan mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya, anda pasti tidak akan tersasar dari mencapai kejayaan juga.

Langkah 5: Mulakan perniagaan
9/10 rezeki datangnya dari perniagaan. Mereka dari golongan terkaya di Malaysia dan dunia merupakan ahli perniagaan. Amat sukar dan mengambil masa yang lama untuk menjadi kaya sekiranya anda seorang pekerja- namun ianya masih tidak mustahil.
Cuba berjinak-jinak dengan perniagaan. Anda terikat dengan pekerjaan 9-5? Tidak mengapa, anda masih mempunyai masa 5-9! Jikalau anda tidak dapat memulakan perniagaan secara full time, mulakan perniagaan secara part time.
Terdapat berbagai-bagai peluang perniagaan di Malaysia. Namun perlu berhati-hati anda tidak terjerumus dengan perniagaan yang melibatkan penyelewengan serta skim-skim cepat kaya dan piramid.
Anda boleh memulakan pengalaman perniagaan anda dengan membuka gerai, franchais, menyertai perniagaan network, memulakan perniagaan dari rumah ataupun melalui perniagaan Internet- seperti saya! Jangan lupa langkah 3 iaitu pelajari ilmu perniagaan berkaitan dengan bidang anda.

Langkah 6: Perihal kewangan
Dalami perihal kewangan. Untuk berjaya dari segi kewangan, anda perlu dilengkapi dengan ilmu mengenai wang. Ketahui bahawa kekayaan bukan bererti berapa banyak wang anda perolehi sebulan- tetapi, berapa banyak wang anda dapat simpan sebulan. Seseorang yang berpendapatan RM10,000 tetapi berbelanja RM9,000 sebulan sudah tentu tidak sekaya seseorang yang bergaji RM3,000 tetapi berbelanja RM1,500 sebulan. Kekayaan bukanlah berapa banyak anda perolehi, tetapi berapa banyak anda boleh menyimpan.
Konsep penting dalam memahami perihal wang adalah konsep compound interest. Maksudnya, pelaburan wang anda yang menghasilkan faedah, kemudiannya keuntungan faedah serta wang pokok anda itu dilaburkan semula. Dengan menggunakan konsep compound interest, wang anda akan berganda dua kali dalam masa 7 tahun sekiranya faedah yang anda terima adalah 10%. Menurut Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad, Poor Dad, selain dari memulakan perniagaan, cara mencapai kekayaan adalah melalui pelaburan.

Langkah 7: Lakukan apa yang anda suka
Anda boleh mencapai kekayaan tidak kira dalam apa bidang jua. Satu kesilapan besar yang sering terjadi adalah apabila kita memikirkan bahawa bidang yang kita dalami tidak boleh menjadikan kita kaya. Sering kita fikirkan, industri yang lain boleh memberi pulangan yang lebih tinggi. Dalam buku motivasi klasik Acres of Diomand, penulis mengatakan bahawa senario \”the grass is greener on the other side\” sering terjadi pada setiap insan. Ini bererti, anda akan sering merasakan industri lain lebih membawa keuntungan dari industri anda. Bidang yang lain lebih memberi kekayaan.
Pada hakikatnya, kekayaan dan kejayaan boleh dicapai tidak kira apa bidang pun. Lakukan sedikit tinjauan- anda pasti akan bertemu kisah mereka yang berjaya dan mencapai kekayaan dalam bidang anda juga!

Langkah 8: Mereka yang berjaya adalah mereka yang sering gagal
Sejarah sering menceritakan kejayaan seseorang sering kalinya dikait dengan kegagalan di masa yang lampau. Ini adalah sememangnya benar oleh kerana mereka yang berjaya pasti mempunyai cerita kegagalan yang boleh dikongsikan.
Perbezaan mereka yang berjaya dan mereka yang tidak, adalah, mereka yang berjaya akan mengambil kegagalan sebagai iktibar. Tidak kira berapa kali kegagalan mengundang, mereka tidak akan berputus asa. Pencipta lampu mentol, Thomas Edison hanya mencapai kejayaan selepas seribu kali mencuba. Apabila ditanya, bagaimana beliau masih boleh berusaha walaupun gagal begitu banyak kali, jawapannya adalah, dia tidak menganggap dirinya gagal. Dia menganggap beliau menjumpai 999 cara yang salah dalam mencipta lampu mentol!

*kredit : http://www.sentuhanemas.com

Tuesday 3 December 2013

Cara Melaksanakan Solat Dhuha

Ruang waktu dan waktu afdal 
Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.
Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).
Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.


Cara melaksanakannya 
Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.
Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)
Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

 Doa yang disarankan
“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh” 
 

Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…

Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”

Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.

Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.
*kredit : http://nursyirah.wordpress.com



Kelebihan Solat Dhuha


1. Solat Dhuha adalah sedekah
Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda yang bermaksud :
"Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720."

2. Allah mengurniakan rezeki yang cukup setiap hari
Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman, maksudnya:
"Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1097."

3. Pahala seperti mengerjakan haji dan umrah
Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
"Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah,no: 535."

4. Solat dhuha adalah solat orang-orang yang bertaubat
Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda, maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, KitabSholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 748.


Sunday 1 December 2013

Amalan Membuka Pintu Rezeki

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)


2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah ,
yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia
berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)


3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang
dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)


4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)


5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)


Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya
terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang orang
lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)


7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)


8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.


9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik
selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.


11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)


12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah .
Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)


13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki.
Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)


14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .


15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat
pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya
adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang
bersyukur.” (Ali Imran: 145)


17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.


Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara
konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah
lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi
sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah
ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam,
dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.


18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh
kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.


19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahwa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja.
(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)


20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah .
Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan
(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal,
nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu
Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...