Monday 13 June 2016

Adab Dan Cara Rasulullah S.A.W Menyantuni Non Muslim

Satu artikel yang menarik untuk dikongsikan. Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya. Sudah pasti sikap saling menghormati antara satu sama lain amat kita titikberatkan untuk keharmonian kehidupan di negara kita tercinta ini.

**Mari kita lihat bagaimana cara dan adab menyantuni Non Muslim yang tidak bermusuh dengan kaum muslim di negara kita ini sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w 
Islam agama samahah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya agama Allah (Islam) itu hanifiyyah dan samahah.” (Riwayat Bukhari secara mu’allaq, Ahmad)
Hanifiyyah maksudnya lurus dan benar, samahah maksudnya penuh kasih sayang dan toleransi. 
Terhadap orang kafir yang tidak memerangi Islam ini,  telah diajar adab-adab yang unik untuk bergaul dengan mereka, antaranya:
1. Dianjurkan berbuat baik dalam muamalah dan pergaulan.
Setiap Muslim hendaklah bermuamalah dengan baik dengan non-muslim, serta menunjukkan akhlak yang mulia. Sama ada dalam jual-beli, urusan pekerjaan, urusan perniagaan dan perkara muamalah lainnya. 
Allah SWT telah berfirman: 
{Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik (dalam urusan dunia) dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah :8).
Ayat ini juga merupakan dalil bolehnya berjual-beli dan berniaga dengan orang kafir selama bukan yang haram. Rasulullah s.a.w dan para sahabat juga dahulu berniaga dengan orang kafir.
Dari segi pergaulan pula, seorang Muslim boleh berbuat baik kepada non-Muslim dalam suasana damai dengan membantu dari segi kewangan, memberi makan, memberi pinjaman, menolong mereka dalam perkara-perkara yang harus, serta berlemah-lembut dalam tutur kata.
Kita juga boleh menziarahi mereka yang sakit sama ada di hospital atau di rumah. 
Perkara ini jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Nabi s.a.w menziarahi anak orang Yahudi yang sakit dan mengajaknya memeluk Islam.
2. Tidak boleh menyakiti mereka tanpa hak                
Haram menyakiti dan mengganggu orang kafir tanpa hak, apalagi menyakiti atau sehingga membunuh mereka. Bahkan doa orang kafir yang terzalimi itu mustajab. 
Nabi s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah terhadap doa orang yang dizalimi, walaupun ia non-muslim. Kerana tidak ada penghalang antara Allah dengannya."  (Riwayat Ahmad, sahih). 
Nabi s.a.w juga bersabda: “Sesiapa yang membunuh seorang kafir mu’ahad (dalam perjanjian damai) tanpa hak, ia tidak mencium bau syurga.” (Riwayat Ibnu Hibban, sahih). 
3. Dianjurkan berbuat baik kepada jiran kafir
Nabi s.a.w bersabda: “Jibril sentiasa mewasiatkan aku untuk berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyangka ia akan dapat mewarisi dariku.” (Muttafaqun ‘alaihi). 
Perkataan jiran di sini bermaksud umum, sama ada jiran yang Muslim mahupun kafir. Inilah bentuk toleransi yang indah yang diajarkan oleh Islam.
 HAD TOLERANSI TERHADAP NON-MUSLIM.
Toleransi juga ada hadnya. Dalam hal ibadah dan aqidah pasti tidak ada ruang untuk toleransi. Bahkan seluruh agama tentu tidak membenarkan penganutnya untuk meyakini aqidah agama lain, atau beribadah dengan ibadat agama lain.
Demikian juga Islam, bahkan telah jelas termaktub dalam Al-Quran yang bermaksud: 
“Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.”(Al-Kafirun: 6). 
Maka terdapat beberapa perkara yang perlu diingat dalam bergaul dengan non-muslim:
1. Wajib membenci ajaran kekufuran dan orang kafir
Hakikat ajaran Islam adalah berserah diri kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, dan taat terhadap perintahnya-Nya dan menjauhi larangan-Nya, serta berlepas diri daripada kesyirikan dan orang musyrik. Ini  adalah natijah dari ucapan syahadah kita. 
Maka tidak mungkin kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan mentauhidkan Allah; mengakui dan berlapang dada terhadap ajaran yang menyatakan ada sembahan selain dari Allah, tidak membenci kekafiran dan tidak membenci ajaran kekafiran dan kemusyrikan. 
Allah Ta’ala berfirman:
“Tidak akan kamu dapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, mereka berkasih-sayang kepada orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Mujadalah: 22).
Kita mesti kuatkan aqidah dan keyakinan agama kita, kerana itu, Nabi s.a.w mengajarkan kita doa ini: 
“Ya Allah perelokkanlah agama kami, yang merupakan perisai urusan kami.” (Riwayat Muslim). 
Kerana urusan agama dan keyakinan inilah yang akan menjadi perisai kita dari api neraka kelak.
2. Tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai auliya'.
Auliya' dalam bentuk jamak dari wali iaitu orang yang lebih dicenderungi untuk diberikan pertolongan, rasa sayang dan sokongan. (Aysar At-Tafasir: 305). 
Dalam Al-Quran, banyak sekali ayat yang melarang kita menjadikan orang kafir sebagai auliya'. 
Di antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: 
{Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi auliya' dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Sesiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah kecuali kerana (helah untuk) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri(siksa)-Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu).” (Al Imran: 28).
Maka anjuran berbuat baik dan ihsan kepada jiran kafir atau orang kafir secara umum, hanya setakat perbuatan baik yang wajar, tidak boleh sehingga menjadikan mereka orang yang dekat di hati, sahabat, orang kepercayaan atau yang dicenderungi untuk diberikan kasih sayang, apalagi menjadikan orang kafir sebagai pemimpin. Wallahul musta’an.
3. Tidak boleh menyerupai orang kafir
Nabi s.a.w bersabda: 
“Orang yang menyerupai suatu kaum, maka ia sebahagian dari kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud, hasan). 
Yang dilarang di sini adalah menyerupai mereka dalam sesuatu perkara dan sifat yang khas bagi mereka, sama ada dalam ibadah, cara berpakaian, kebiasaan, adat dan lainnya. Kerana ini menunjukkan tidak adanya bara-ah (kebencian) terhadap ajaran kufur dan orangnya. Juga kerana meniru mereka dalam perkara zahir akan menyeret kita untuk meniru mereka dalam perkara batin iaitu aqidah.
Termasuk juga dalam hal ini, tidak boleh memakai simbol-simbol agama lain. 
Nabi Muhammad s.a.w ketika melihat 'Adi bin Hatim r.a memakai rantai salib, Baginda bersabda:
 "Wahai ‘Adi, buang berhala yang ada di lehermu.” (Riwayat At-Tirmizi, hasan). 
Termasuk dalam larangan ini juga, tidak boleh ikut merayakan perayaan orang kafir. 
Khalifah Umar bin al-Khathab r.a pernah berkata: 
“Janganlah kamu memasuki tempat ibadat non muslim di gereja-gereja mereka pada hari raya mereka. Kerana pada waktu itu sedang turun kemurkaan Allah.” (Riwayat Abdurrazaq).
4. Muslim dan kafir bukan saudara dan tidak saling mewarisi
Tidak dibolehkan memanggil “wahai saudaraku,” kepada non-muslim kecuali jika dia memang saudara kandung atau saudara sepersusuan. Kerana jika persaudaraan nasab (keturunan) atau persusuan dinafikan maka tidak ada persaudaraan yang tinggal kecuali persaudaraan kerana agama. Seorang kafir bukanlah saudara bagi seorang Muslim dalam agamanya. 
Ingatlah perkataan Nabi Allah Nuh dalam Al-Quran yang bermaksud: 
{"Wahai Tuhan, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya.“ Allah berfirman: "Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu”.” (Hud: 45-46).  
(Majmu’ Fatawa wa ar-Rasail). 
Seorang muslim juga tidak mendapat bahagian (mewarisi harta) dari keluarganya yang meninggal dalam keadaan kafir, serta sebaliknya.
Nabi s.a.w bersabda: 
“Seorang Muslim tidak mewarisi dari seorang kafir dan seorang kafir tidak juga mewarisi dari seorang Muslim.” (Muttafaqun ‘alaih). 
Dan beberapa batasan lagi yang tidak mungkin kami bahas semuanya dalam kesempatan ini.
 5. Yang terakhir tetapi tidak kurang pentingnya adalah kita berharap dan berusaha agar orang kafir mendapat hidayah.
Hendaklah memberi kesempatan kepada orang-orang kafir untuk mendengar kalamullah. Mungkin mereka tidak beriman kepada Allah SWT  kerana belum pernah mendengar firman Allah. 
Allah SWT berfirman:
{Dan jika seseorang dari orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah. Kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (At-Taubah: 6)
Maka hendaklah seboleh mungkin mengajaknya kepada agama Allah dan menjelaskan hakikat Islam, sepadan dengan ilmu yang kita miliki, setakat yang kita mampu. Kerana ini adalah perbuatan baik yang paling baik terhadap mereka. 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesiapa yang menunjukkan kepada hidayah maka dia mendapat pahala seumpama penerimanya." (Riwayat Muslim).
Demikianlah beberapa adab yang harus dipegang teguh oleh orang Islam dalam hubungannya dengan non-Muslim. Islam telah mengajar toleransi yang indah terhadap orang kafir, namun ia tetap ada batasannya. Kaum mukminin adalah kaum yang pertengahan, tidak berlebihan namun tidak juga tidak terlalu meremehkan.
 Sumber : http://majalah-i.karangkraf.com/adab-cara-rasulullah-s-a-w-menyantuni-non-muslim-1.484402

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...