SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh
menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh
dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan
dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.
Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya
dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda
yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka.
Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia
lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata:
Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda
berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali.
Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka,
walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak
sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan
mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi
sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang
lebih memerlukan sedekah.
Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling
tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik,
maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita
tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering
diberi dan menerima sedekah.
Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk
berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada
jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.
Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk
berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih
untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.
Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa
satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan
jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.
Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10.
Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya
lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap
dengan seranah lagi.
Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga,
maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah
penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan
mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.
Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas
hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang
pedih.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang
munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan
sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak
memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka.
maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas
penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung
sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui
hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya
Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan
menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya
kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
No comments:
Post a Comment